Friday, January 12, 2007

el nino

nasronnews

Oleh Nasron Sira Rahim

KUALA LUMPUR: Perkembangan sektor pertanian negara seperti ditekankan Rancangan Malaysia Kesembilan dijangka bakal menghadapi cabaran terbesarnya apabila fenomena El Nino yang bermula tahun ini berkemungkinan menyebabkan kemarau paling teruk dalam sejarah.
Pengarah Pusat Perubahan Cuaca Universiti Malaya (UMCCA), Profesor Dr Khairulmaini Osman Salleh, berkata berbanding sebelum ini, kemarau yang dijangka berlaku beberapa bulan lagi disifatkan ‘luar biasa’ sekali gus memberi impak terhadap sistem biologi seperti sektor penanaman, pertanian dan perikanan akibat cuaca panas keterlaluan.
“Berdasarkan kepada pemerhatian suhu permukaan laut di Lautan Pasifik, ada kemungkinan fenomena El-Nino akan kembali berlaku pada 2007 dan berdasarkan data yang direkodkan, setiap kali berlaku, keadaannya semakin meningkat (buruk).
“Dijangkakan dua situasi bakal berlaku sepanjang El Nino kali ini iaitu keadaan kemarau yang tidak terlalu panas tetapi dalam tempoh lama atau kemarau yang sangat panas tetapi dalam tempoh singkat,” katanya.
Dr Khairulmaini yang juga pensyarah Jabatan Geografi, Fakulti Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, berkata berbanding 50 tahun lalu, masalah dan cuaca panas akibat fenomena El Nino tidak begitu ketara tetapi kesannya semakin membimbangkan kebelakangan ini.
“Pada 1,000 tahun lalu pun ada fenomena El Nino dan La Nina tetapi kini ia semakin buruk, saya percaya perubahan ketara ini berlaku kerana peningkatan suhu bumi akibat kesan rumah hijau yang menyebabkan berlakunya fenomena iklim tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kajian Pusat Diagnostik Iklim, Universiti Colorado, Amerika Syarikat; perubahan mendadak dalam fenomena El Nino sudah dikesan dalam dua kejadian El Nino sebelum ini iaitu pada 1997 dan 1990.
Kejadian El Nino pada 1990 dikesan paling lama sepanjang 50 tahun iaitu selama kira-kira lima tahun dengan peningkatan suhu tertinggi sekitar 2 darjah celcius. Pada 1997, ia berlaku dalam tempoh singkat iaitu kira-kira setahun tetapi direkodkan antara paling panas dengan peningkatan suhu hampir tiga darjah celcius; ia menyebabkan lebih 2,000 kematian seluruh dunia dan kerugian mencecah lebih RM140 bilion.
Baru-baru ini, seorang pakar cuaca Britain, Profesor Phil Jones memberi amaran dunia bakal berdepan ancaman cuaca buruk, termasuk keadaan paling panas akibat gabungan pemanasan global dan fenomena El Nino, tahun ini.
“Apabila ada ‘signal’ seperti ini, maka kita perlu bersedia untuk menghadapi keadaan kemarau itu. Kita tidak mahu menguruskan bencana yang sudah berlaku tetapi mahu bersedia untuk menguruskan bahaya dan situasi yang boleh memudaratkan sebelum bencana semakin tidak terkawal,” katanya.
Beliau berkata, berikutan Malaysia adalah negara yang masih bergantung kepada sumber semula jadi dan menekankan sektor pertanian, fenomena kemarau akibat El Nino dijangka memberi kesan terhadap negara termasuk kemerosotan hasil tanaman ladang.
“Sektor yang boleh terjejas akibat kemarau adalah akibat masalah pengairan kepada sistem pertanian yang membabitkan tanaman yang memerlukan banyak air, bekalan air domestik kepada pengguna selain kawasan punca air menjadi kering kontang.
“Sumber air yang membekalkan tenaga kepada hidroelektrik yang menjana kuasa elektrik negara juga perlu diberi perhatian serius lebih-lebih lagi negara memiliki kuasa penawaran dan permintaan elektrik yang ‘tidak selesa’ iaitu ‘cukup-cukup makan’ serta tiada bekalan elektrik tambahan jika berlaku apa-apa kemungkinan,” katanya.
Dr Khairulmaini berkata, kemarau juga menyebabkan berlakunya pelbagai masalah kesihatan dan kebakaran malah keadaan akan menjadi lebih buruk jika masalah El Nino turut ditambah dengan jerebu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home