Tuesday, January 02, 2007

misteri naga

nasron45

Misteri - naga: dinosour atau mitos?

Oleh Nasron Sira Rahim

PERSOALAN sama ada naga hanyalah kisah fiksyen sesuatu bangsa atau sememangnya pernah wujud sebagai satu spesies hidupan sezaman dengan era dinosaur, masih menjadi misteri kepada peradaban manusia.

Bagaimanapun, jika makhluk itu benar-benar wujud seperti dikisahkan, maka kita pasti mengakui bahawa naga adalah haiwan terkuat pernah hidup di bumi ini malah mungkin kewujudan makhluk itu akan menimbulkan kegerunan kepada manusia.

Betapa tidak, makhluk gergasi itu diceritakan tidak saja memiliki sifat ganas, tetapi turut memiliki kuasa mistik yang masih belum ditemui pada mana-mana haiwan yang tertera dalam katalog biologi dunia.

Naga seperti tercatat dalam legenda mampu mengeluarkan semburan api panas sehingga mencairkan besi dan merentungkan apa saja. Tidak hanya kelebihan itu, haiwan berkenaan mampu terbang pantas manakala sesetengah jenis naga lain dapat menyelam dalam air.

Sesetengah kisah menceritakan naga menyimpan mutiara di mulutnya dan mutiara itu menghasilkan kuasa mistik untuk memberikan pelbagai kelebihan kepada sesiapa yang memperolehinya.

Ketepikan semua kelebihan itu; naga masih digeruni kerana saiznya yang gergasi. Bayangkan jika naga benar-benar wujud di alam manusia ketika ini; di sebalik kemajuan pembangunan, puluhan naga berkeliaran berterbangan di sisi manusia.

Filem Hollywood ‘Reign Of Fire’ yang dihasilkan pada 2002 cuba menggambarkan fantasi itu dan hasilnya, jelas manusia kalah tatkala berhadapan dengan ancaman naga. Begitulah hebatnya cerita yang digembar-gemburkan mengenai naga.

Bagaimanapun, sehingga kini persoalan sama ada naga wujud atau sekadar mitos kebudayaan masyarakat tertentu masih meninggalkan tanda soal besar. Sesuatu yang menarik mengenai naga adalah ia bukan sekadar kepercayaan atau mitos bagi masyarakat tertentu saja sebaliknya cerita mengenai naga terdapat dalam budaya pelbagai bangsa berbeza di seluruh dunia.

Malah, seperti juga budaya sesuatu kaum pribumi yang berbeza dari satu benua ke benua lain, ciri-ciri dan gambaran naga juga berlainan mengikut cerita setempat. Dikatakan terdapat lebih 30 jenis naga yang antaranya berbeza fizikal dan fungsi dalam pelbagai legenda dan kebudayaan di seluruh negara.

Antara perbezaan fizikal naga mengikut bangsa adalah masyarakat Cina cenderung mengatakan ia memiliki badan berbentuk ular, muka seakan kuda, tanduk seperti rusa, kuku helang, sisik ikan dan mampu terbang.

Masyarakat Barat pula menggambarkan naga menyerupai dinosaur Tyrannosaurus-rex tetapi memiliki kepak untuk terbang. Kebanyakan naga digambarkan sebagai haiwan berjenis reptilia dan menetas daripada telur.

Di Thailand pula, terdapat ukiran naga yang berbentuk seperti ular tetapi haiwan itu memiliki tujuh kepala manakala naga di Vietnam menggabungkan imej buaya, ular, biawak dan burung.

Di Malaysia sendiri, kita pernah gempar dengan cerita mengenai kewujudan naga di Tasik Chini, suatu ketika dulu, walaupun tiada siapa yang pernah menangkap haiwan itu untuk dipertontonkan kepada umum.

Dalam legenda Greek, terdapat banyak kisah mengenai naga terutama cerita yang menggambarkan haiwan itu bertindak selaku penjaga kepada harta karun. Mengikut catatan pengembaraan Herodotus yang juga digelar ‘bapa sejarah dunia’, ketika beliau melawat Judea sekitar 450 Sebelum Masihi (SM), dia mendengar cerita dari penduduk tempatan mengenai seekor naga yang dikurung dalam sangkar berhampiran Jordan.

Didorong perasaan ingin tahu, Herodotus mengembara ke kawasan itu dan menjumpai banyak rangka berbentuk ular. Sejarawan itu kemudian menulis rangka itu milik ‘ular yang terbang dari Tanah Arab ke Mesir tetapi haiwan itu bertembung dengan sejenis burung Ibis dan dibunuh burung berkenaan’.

Mengikut jurnal pengembaraan Marco Polo pula, ketika beliau bersama kumpulannya melalui kawasan padang pasir di tempat dikenali Anatolia untuk menuju ke Persia, dicatatkan bahawa pihaknya diserang naga yang berterbangan.

Beliau menulis yang mereka terlalu takut memikirkan kemungkinan makhluk itu akan membunuh mereka. Demikianlah antara kisah dan ciri naga dalam kebanyakan legenda di seluruh dunia.

Bagaimanapun, timbul satu persoalan lain apabila menceritakan mengenai makhluk itu - adakah naga adalah spesies haiwan purba yang hidup sezaman dengan dinosaur? Dan disebabkan faktor yang menyebabkan kepupusan dinosaur, naga turut lenyap di muka bumi ini.

Marco Polo juga adalah lelaki Barat pertama menggambarkan mengenai ‘rangka naga Cina’ dalam catatan awal mengenainya sekali gus mengetengahkan isu wujudkan perbezaan antara fizikal naga daripada budaya Cina dan Barat.

Tanggapan bahawa naga adalah hidupan purba pada zaman dinosaur muncul apabila ahli sejarah purba China, Chang Qu, mencatatkan mengenai penemuan rangka yang diyakininya sebagai rangka naga di Wucheng di Wilayah Sichuan, China pada 300 SM.

Bagaimanapun, ramai pihak yang skeptikal mengatakan rangka itu adalah tinggalan naga sebaliknya berkemungkinan fosil dinosaur.

FAKTA
Bangsa dan negara yang memiliki kisah naga
*Asia- Cina: dikenali Long, berbentuk ular dengan empat kaki yang berkuku.- Vietnam: dikenali Rong, - Jepun: dikenali Ryu, memiliki tiga kuku tajam - Korea: dikenali Yong, naga langit; Yo, naga laut dan Kyo, naga gunung. - Seberian: dikenali Yilbegan- India: dikenali Vyalee dan banyak diukir di kuil di Selatan India.*Eropah - Germanic dan Scandinavian: dikenali Lindworm, berbentuk ular besar yang berkaki dua.- Wales: dikenali Y Ddraig Goch, naga merah yang tertera pada bendera negeri itu.- Hungarian: dikenali Zomok, berbentuk ular yang tinggal dalam paya dan membunuh khinzir atau biri-biri; sárkánykígyó, berbentuk ular berkepak; sárkány, naga berbentuk manusia yang memiliki banyak kepala.- Slavic: dikenali Zmey, Zmiy dan Zmaj; menyerupai naga Eropah tetapi ada banyak kepala, menyembur api.- Romanian: dikenali Balaur, memiliki sirip, bersaiz besar dan kepala yang banyak.- Chuvash: dikenali Vere Celen.- Tatar: dikenali Zilant.- Basque: dikenali Herensuge dan Sugaar.*Amerika- Meso-amerika: dikenali Amphitere.- Inca: dikenali Amaru.- Brazil: dikenali sebagai Boi-tata.- Chile: dikenali Caicaivilu dan Tentenvilu, seperti ular.*Afrika-Afrika: dikenali Amphisbaena, berkepala dua iaitu satu di depan dan satu di ekor.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home