Thursday, December 28, 2006

balasan alam

Heading: Balasan alam

Introteks: Banjir luar biasa yang berlaku hanya satu daripada ratusan kes bencana alam akibat pemanasan global hasil janaan manusia

Oleh Nasron Sira Rahim

“SEKARANG ancaman yang kita (manusia) hadapi bukan lagi peperangan dan ketenteraan tetapi bencana alam!” demikian kata Pengarah Pusat Perubahan Cuaca Universiti Malaya (UMCCA), Profesor Dr Khairulmaini Osman Salleh ketika mengenangkan keadaan banjir luar biasa di negara ini, ketika ini.

Meneliti ungkapan saintis itu, pasti kita tidak dapat menyangkal hakikat yang dikatakannya - tanpa serangan ketenteraan atau peperangan sengit, banjir sekitar seminggu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu serta Kelantan saja sudah menyebabkan kerugian lebih RM100 juta serta mengorbankan lapan nyawa.

Sememangnya kuasa alam yang digerakkan Tuhan mampu mengatasi keupayaan manusia; betapa canggih, maju dan tingginya bangunan pencakar langit dibina manusia, semuanya mampu runtuh sekelip mata dilanda bencana alam.

Pastinya bencana alam yang semakin hari semakin dahsyat itu tidak berlaku tanpa sebab; ia terjadi akibat tindak balas manusia ‘mendatangkan kecederaan terhadap mereka’ dan proses itu berlaku tanpa henti.

Dr Khairulmaini berkata, banjir luar biasa yang berlaku di beberapa negeri di negara ini sekadar satu daripada ratusan kes bencana alam yang dicatat dalam senarai kesan akibat pemanasan global hasil janaan aktiviti manusia.

“Kita ada fenomena banjir yang berlaku setiap tahun bagi banjir kecil, setiap 10 tahun, 50 tahun, 100 tahun selain selang tempoh lebih lama menjangkau ribuan tahun seperti banjir zaman Nabi Nuh.

“Banjir besar baru-baru ini sepatutnya berlaku sekali dalam tempoh 100 tahun tetapi sejak lima tahun kebelakangan ini, fenomena itu kerap berlaku di seluruh dunia,” katanya yang juga pensyarah Jabatan Geografi Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM.

Beliau berkata, bencana besar dan dahsyat yang diklasifikasi sebagai ‘super’ serta kerap berlaku kebelakangan ini tidak saja tertumpu kepada banjir tetapi turut tersenarai adalah kemarau, tanah runtuh, penularan wabak penyakit, kebakaran serta aktiviti tekanan rendah seperti taufan dan puting beliung.

Kesan lain pemanasan global atau turut dikenali ‘kesan rumah hijau’ adalah cairan glasier kutub yang meningkatkan air laut sehingga menenggelamkan kawasan tanah rendah termasuk beberapa pulau di Lautan Pasifik selain berlakunya fenomena kecelaruan cuaca luar biasa seperti banjir dan salji turun buat pertama kali di negara panas di Benua Afrika.

“Kajian dilakukan Organisasi Kaji Cuaca Dunia (WMO) mendapati suhu bumi semakin panas dan meningkat sejak tahun 2000. Mereka menjangkakan menjelang 2010, suhu bumi akan bertambah antara 1.4 hingga 5.8 darjah celcius.

“Peningkatan suhu ini berlaku akibat bertambahnya gas karbon dioksida dan gas rumah hijau; karbon dioksida adalah gas yang mampu menyerap haba serta memanaskan haba menyebabkan semakin banyak gas itu di udara, suhu semakin meningkat,” katanya.

Katanya, berbanding dulu, karbon dioksida yang dibebaskan ke udara melalui beberapa sumber antaranya pernafasan manusia, akan diserap tumbuhan dalam proses fotosintesis dan ditukarkan kepada gas oksigen.

Bagaimanapun, kitaran itu mula terganggu apabila tumbuhan hijau semakin berkurangan akibat pembalakan, pencemaran, pembangunan tidak mapan dan aktiviti berkaitan. Proses ketidakseimbangan itu turut berlaku hasil sumbangan gas rumah hijau lain seperti metana yang dibebaskan ke udara melalui beberapa sumber antaranya sektor perindustrian.

“Jika dilihat kepada banjir luar biasa yang berlaku di negara kita baru-baru ini, pelbagai faktor boleh menyumbang sebagai punca bencana selain pergerakan angin monsun Timur Laut. Kajian perlu dilakukan untuk mengenal pasti faktor sampingan.

“Bagaimanapun antara teorinya mungkin kawasan bencana pesat membangun sehingga ada tempat yang tidak lagi mampu telap air, berlakunya limpahan tebing sungai dan fenomena air pasang surut yang menolak air banjir ke kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata, apabila berlakunya pemanasan global, kitaran air di udara dan punca sumber air juga tidak tetap menyebabkan hujan berlaku secara tidak menentu. Kesan rumah hijau juga mengundang bencana alam dahsyat tanpa disangka.

Kesan pemanasan global mula diberi perhatian serius menerusi Konvensyen Rio pada 1992 dan sejak itu, kesedaran mengenai perlunya pemuliharaan terhadap suhu dunia dan alam sekitar mula timbul.

Lanjutan daripada kesedaran itu, Protokol Kyoto yang menitikberatkan usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau khususnya pelepasan sebatian karbon di kalangan negara peserta diperkenalkan.

Bagaimanapun, negara industri besar seperti Amerika Syarikat tidak mahu mengikuti protokol berkenaan menyebabkan usaha mengawal kesan rumah hijau tidak dapat dilakukan dengan menyeluruh.

“Usaha untuk mengawal pemanasan global ini mengambil masa yang panjang; bukan hari ini kita lakukan, esok sudah boleh melihat kesannya. Usaha ini mungkin memakan masa ratusan tahun untuk melihat suhu bumi kembali normal.

“Itupun jika usaha ini berjaya dijalankan dengan usaha semua pihak,” katanya.

Heading: Kesedaran rakyat Malaysia amat kurang

Introteks: Mekanisme bagi memupuk kesedaran perlu dipelbagai termasuk menerusi kurikulum sekolah, pembabitan selebriti dan kempen

Oleh Nasron Sira Rahim

DI JEPUN, kanak-kanak tadika sebaik terdengar siren amaran bencana alam, mereka terus memerap tetapi rakyat Malaysia, apabila diberitahu bacaan indeks pencemaran udara (IPU) menjangkau 200 (akibat jerebu), masih ada yang keluar bermain golf.

Begitulah gambaran rakyat dua negara yang diberikan Pengarah Pusat Perubahan Cuaca Universiti Malaya (UMCCA), Profesor Dr Khairulmaini Osman Salleh mengenai tahap kesedaran penduduk negara ini mengenai bahaya bencana alam sekitar.

Katanya, sikap sambil lewa dan endah tidak endah mengenai bahaya bencana alam adalah antara isu utama ketika membincangkan topik peranan manusia dalam menilai kesan perubahan cuaca akibat pemanasan global.

Beliau berkata, tiadanya kesedaran mengenai bahaya hasil kesan pemanasan global tidak saja berlaku di kalangan penduduk biasa tetapi termasuk kalangan profesional yang menganggap sesuatu petaka alam itu berlaku secara kebetulan.

“Kita kena faham bahawa bencana alam seperti kemarau dan banjir hanyalah proses. Proses itu berlaku kerana bertambahnya tenaga akibat pemanasan global dan semakin kerap proses (bencana) itu berlaku bermakna tenaga semakin bertambah.

“Tetapi ada pihak yang skeptikal dan mengatakan sesuatu bencana alam itu berlaku secara kebetulan dan tiada kaitan dengan pemanasan global,” katanya.

Beliau berkata, antara sebab wujudnya tanggapan sedemikian adalah pihak terbabit tidak memiliki kesedaran mengenai kesan rumah hijau selain data yang ada hanya berdasarkan rekod pemerhatian dalam tempoh singkat iaitu kurang 50 tahun. Kurangnya data itu menyukarkan usaha mengesan pola bencana.

Dr Khairulmaini berkata, tinggi atau rendahnya kesedaran bahaya bencana alam di kalangan masyarakat akan memberi kesan kepada pembangunan aspek persediaan untuk berhadapan dengan bencana alam.

“Dalam Wawasan 2020, kita mahukan negara menjadi maju tetapi pada masa sama masyarakat juga hidup secara sihat. Kita tidak mahu menguruskan bencana sebaliknya mahu menguruskan bahaya dan situasi yang boleh memudaratkan sebelum bencana semakin tidak terkawal.

“Bencana kadangkala terjadi tanpa diduga tetapi kita perlu bersedia untuk menghadapinya,” katanya. Bagi mencapai tujuan itu, kesedaran kepada masyarakat perlu dipupuk secara berterusan dan tidak hanya sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’ malah perlu diusahakan secara muafakat bersama pelbagai pihak.

“Sebagai contoh, dulu kita melancarkan kempen ‘Cintai Sungai Kita’, tetapi kempen itu tidak berterusan dan mendapat kerjasama ramai pihak menyebabkan baru-baru ini dilaporkan masih ada sungai yang sangat kotor,” katanya.

Beliau berkata, mekanisme bagi memupuk kesedaran di kalangan masyarakat perlu dilakukan dengan berkesan dan tugas itu boleh dipelbagaikan menerusi kurikulum sekolah, pembabitan selebriti dan secara kempen dalam pelbagai program.

Selain kesedaran, aspek lain yang perlu dititikberatkan adalah pembangunan sistem amaran bencana yang menyeluruh dan efisien manakala aspek meramalkan bencana juga perlu ditekankan.

“Sebagai contoh sejak dua tiga bulan lalu kita lihat cuaca di kawasan Lembah Klang sudah tidak menentu, mungkin itu petanda bencana bakal berlaku lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata, dalam membincangkan aspek sistem amaran, kerajaan perlu memastikan pembangunan sistem itu benar-benar berkesan dan tidak menjadi projek ‘gajah putih’ akibat masalah birokrasi dan sebagainya.

“Jika kita gagal membuat persediaan untuk menguruskan bahaya bencana alam, kemusnahan dan kerugian yang lebih teruk akan berlaku; sektor ekonomi, ekologi, persekitaran, pembangunan, sosial termasuk politik akan terjejas,” katanya.

Katanya, jika keadaan itu berlaku, kesannya kepada manusia pasti melebihi natijah peperangan dan ancaman kepada manusia tidak lagi ketenteraan sebaliknya bencana alam!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home