Sunday, September 02, 2007

SIRI 2: ted bundy pembunuh bersiri

nasron38

Fail Jenayah - Ted Bundy

Susunan Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

RAKAN sebilik Joni Lenz, pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa apabila mereka tidak melihat gadis itu pada pagi 4 Januari 1974.
Sehinggalah apabila gadis itu masih tidak muncul pada tengah hari, rakan gadis itu mula turun ke bilik tidurnya di tingkat bawah kediaman mereka untuk melihat sama ada Joni sakit sehingga memerap saja dalam bilik.
Ketika itulah satu pemandangan ngeri terpampang di hadapan mata mereka! Gadis itu terbaring berlumuran darah dan cedera parah akibat dipukul atau diperlakukan dengan amat ganas.
Suatu batang besi yang membentuk katilnya dicabut dan disula ke dalam kemaluan gadis itu. Melihat keadaan tragis itu, Joni segera dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat seksaan melampau.
Bagaimanapun, gadis itu bernasib baik kerana masih hidup tetapi kejadian kejam itu mungkin akan menjadi igauan ngeri yang akan menyelubungi seluruh hidupnya untuk sepanjang hayat.
Joni adalah antara segelintir mangsa kekejaman Ted Bundy yang masih hidup. Kebanyakan mangsa pembunuh bersiri yang menggemparkan Amerika Syarikat (AS) antara 1974 hingga 1978 itu, maut dalam keadaan yang menyeksakan.
Pihak berkuasa menganggarkan yang terdapat 35 lagi mangsa kekejaman Ted Bundy selepas Joni manakala penyelidik menganggarkan jumlah sebenar mangsa lelaki itu adalah 40 orang. Bagaimanapun, jumlah sebenar mangsanya hanya diketahui Ted Bundy seorang dan rahsia itu turut dibawa bersama ke alam kubur.
Ramai penyelidik kes Ted Bundy termasuk detektif dari King Country, Robert D Keppel percaya yang lelaki itu mula membunuh seawal usia remajanya.
Kehilangan Ann Marie Burr, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari rumahnya di Tacoma pada 1961 dipercayai angkara Ted Bundy yang ketika itu berusia 14 tahun. Bagaimanapun, ketika ditanya kepada lelaki itu berhubung kejadian berkenaan, dia menafikan membunuh budak perempuan berkenaan.
Ketika berbincang dengan peguam belanya, Ted Bundy menceritakan yang dia mula menculik wanita pada 1969 dan mula membunuh sekitar 1972 hingga 1973.
Selain Joni, mangsa pembunuhan Ted Bundy yang lain adalah Linda Healy yang hilang dari rumahnya di Seattle. Pihak berkuasa hanya menjumpai baju tidurnya yang penuh darah, tergantung dalam almari tetapi mayatnya tidak dapat dikesan.
Beberapa minggu sebelum kehilangan Linda, seorang gadis, Susan Clarke yang tinggal beberapa blok dari rumah Linda, diserang dan dibelasah atas katil. Bagaimanapun, Clarke bernasib baik kerana sembuh daripada kecederaannya.
Polis yang menyiasat kes itu tidak mempunyai sebarang bukti, sehinggalah berlaku beberapa lagi siri kehilangan membabitkan wanita muda.
Pada 12 Mac 1974, Donna Gail Manson dilapor hilang ketika dalam perjalanan untuk melihat konsert di Olympia, Washington; Susan Rancourt hilang ketika dalam perjalanan menonton filem di Ellensburg pada 17 April dan Robert Parks tidak pulang ke rumah selepas keluar berjalan di Corvallis pada 6 Mei.
Brenda Ball meninggalkan rumahnya di Flame Tavern bersama seorang lelaki dan terus tidak pulang pada 1 Jun dan 10 hari kemudian, Georgann Hawkins juga dilapor hilang.
Detektif yang menyiasat kes itu pada mulanya masih tidak mengetahui siapakah yang bertanggungjawab terhadap semua penculikan dan pembunuhan wanita terbabit.
Akan tetapi, mereka mula menyedari yang terdapat suatu corak pada semua mangsa yang hilang - semua mereka wanita muda, menarik, berambut hitam paras bahu dan disisir belah di tengah. Jika gambar mangsa diletak bersebelahan, mereka kelihatan seakan-akan kembar atau bersaudara.

Minggu depan: Gerakan memburu Ted Bundy

0 Comments:

Post a Comment

<< Home