Friday, December 01, 2006

soaljawab - penggabungan syarikat

soalansj

SEJAK akhir-akhir ini, soal penggabungan antara beberapa syarikat kerap diperkata dan dicadangkan. Antaranya adalah hasrat penggabungan tiga syarikat perladangan; Sime Darby Bhd, Golden Hope Plantations Bhd dan Kumpulan Guthrie Bhd bagi mewujudkan satu entiti
syarikat gergasi perladangan kelapa sawit terbesar dunia.
Selain itu, Perdana Menteri turut mencadangkan supaya syarikat kontraktor pembinaan bergabung sesama sendiri untuk meningkatkan daya saing bukan saja di pasaran tempatan, malah pada peringkat global.
Kerajaan sebelum ini juga sudah membenarkan penggabungan 54 bank menjadi 10 kumpulan, seterusnya kepada sembilan selepas selesainya proses penggabungan antara Bumiputra-Commerce Bank Bhd (BCB) dan Southern Bank Berhad (SBB), sebelum ini.
Wartawan Berita Minggu, NASRON SIRA RAHIM menemui pensyarah ekonomi industri, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Prof Madya Fatimah Said, bagi membincangkan situasi berkenaan.

S: Tiga syarikat perladangan Sime Darby Bhd, Golden Hope Plantations Bhd dan Kumpulan Guthrie Bhd berhasrat untuk bergabung bagi mewujudkan satu entiti syarikat gergasi perladangan kelapa sawit terbesar dunia. Bagaimana Prof Madya melihat perkara ini?
J: Dalam membincangkan perkara ini, perlu diketahui terlebih dulu mengenai erti penggabungan dalam ekonomi. Penggabungan atau disebut percantuman dalam istilah ekonomi adalah cantuman dua atau lebih firma di bawah kawalan yang sama bagi membentuk syarikat baru setelah mendapat persetujuan daripada pihak pengurusan firma-firma terbabit.
Percantuman boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu percantuman menegak, mendatar dan konglomerat. Percantuman menegak berlaku apabila firma daripada industri yang sama yang berada pada tahap produktif yang berbeza - seperti syarikat perladangan kelapa sawit dan syarikat penghasilan minyak kelapa sawit - bergabung bagi membentuk satu syarikat.
Percantuman mendatar berlaku apabila firma daripada industri yang sama yang berada pada tahap produktif yang sama - seperti syarikat perladangan kelapa sawit X dan syarikat perladangan kelapa sawit Y - bergabung bagi membentuk satu syarikat. Percantuman konglomerat pula menggabungkan firma daripada industri yang berasingan seperti syarikat guaman dan syarikat pembinaan.
Dalam kes ini, sekiranya berlaku penggabungan antara tiga syarikat gergasi perladangan Sime Darby Bhd, Golden Hope Plantations Bhd dan Kumpulan Guthrie Bhd, ia mencakupi ketiga-tiga jenis percantuman yang dinyatakan di atas.
Ini disebabkan selain daripada terbabit dalam penanaman kelapa sawit dan pemprosesan buah kelapa sawit menghasilkan minyak sawit dan produk lain yang berkaitan, syarikat-syarikat terbabit juga terbabit dalam pelbagai perniagaan teras lain iaitu kenderaan bermotor, jentera berat, hartanah serta tenaga dan utiliti.
Sekiranya terlaksana, cadangan penggabungan ini akan mewujudkan syarikat perladangan kelapa sawit terbesar di dunia dengan keluasan ladang melebihi 600,000 hektar dan pekerja berjumlah 197,000 orang. Entiti ini juga bakal mengeluarkan 2.5 juta tan minyak sawit setahun, mewakili kira-kira enam peratus pengeluaran minyak sawit dunia.
Usaha penggabungan ini selaras dengan teras dasar sektor pertanian dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) 2006-2010, iaitu mewujudkan sektor pertanian moden, dinamik dan berdaya saing melalui penekanan terhadap perladangan komersil berskala besar, pembabitan aktiviti berkualiti dan nilai ditambah yang tinggi serta memperkukuhkan pemasaran dan rangkaian global.
Industri minyak sawit digalakkan mengembangkan aktiviti ke luar negara, iaitu ke negara yang mempunyai permintaan tinggi terhadap minyak sawit serta mempergiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (P&P).

S: Mengapa perlunya syarikat-syarikat bergabung dan apa yang mereka perolehi?
J: Pada kebiasaannya penggabungan dilakukan bertujuan mengambil faedah daripada aktiviti secara besar-besaran iaitu menikmati faedah ekonomi ikut skel teknik dan kewangan serta memudahkan komunikasi, perancangan, penyelarasan dan pengurusan yang lebih baik.
Faedah ekonomi ikut skel teknik dinikmati apabila pertambahan kecekapan pengeluaran firma akan mengurangkan nisbah antara input dengan output.
Dalam hal ini tingkat output tertentu dapat dihasilkan dengan menggunakan jumlah input (pengeluaran) yang sedikit dan seterusnya dapat merendahkan kos pengeluaran. Firma yang bergabung juga menikmati faedah ekonomi kewangan yang membolehkannya mempengaruhi harga input yang dibeli di pasaran.
Output yang dikeluarkan secara besar-besaran disertai dengan tingkat pengurusan yang cekap membolehkan firma bergabung mengembangkan pasaran di dalam dan di luar negara.
Percantuman konglomerat pula adalah antara kaedah bagi firma mempelbagai dan memperluaskan kegiatan ekonomi. Berbanding dengan pertumbuhan dalaman, percantuman membolehkan firma mencapai pertumbuhan dengan lebih cepat.
Percantuman juga adalah kaedah penyusunan semula industri bagi mengurangkan kapasiti lebihan, membantu pengendalian tingkat aset dengan lebih cekap dan menguntungkan serta membolehkan firma membiayai aktiviti P&P dengan lebih berkesan dalam memperkenalkan reka baru proses dan keluaran terkini.
Risiko perniagaan juga dapat dikurangkan apabila aktiviti percantuman menegak menjamin firma mendapat bekalan bahan mentah secara berterusan.

S: Apakah pula kesan yang diperoleh pemegang saham apabila syarikat bergabung?
J: Sekiranya penggabungan meninggikan keuntungan berbanding dengan keuntungan sebelum percantuman, maka pemegang saham akan menikmati faedah dari segi penerimaan dividen yang lebih tinggi.
Penerimaan dividen yang tinggi akan meninggikan kuasa beli dan permintaan agregat dalam ekonomi yang seterusnya dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam cadangan penggabungan antara syarikat perladangan terbabit, pendapat mengatakan para pemegang saham akan memperoleh keuntungan segera sebanyak lima peratus. Selain daripada itu saham dipegang tidak mengalami risiko penurunan harga apabila penajaan jaminan selama 12 bulan ditawarkan kepada saham berkenaan.

S: Apa pula kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi di dalam negara dan di peringkat antarabangsa?
J: Aktiviti percantuman mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara. Pengurangan dalam kos pengeluaran membolehkan firma bergabung merendahkan harga keluaran mereka.
Sekiranya pengurangan dalam kos pengeluaran ini benar-benar dipindahkan kepada pengguna akhir dalam bentuk tingkat harga output yang lebih rendah, maka ini sudah pasti meninggikan kebajikan masyarakat kerana pengguna dapat membeli sesuatu barang dengan harga lebih murah.
Pengurangan harga keluaran kepada firma perantaraan yang menggunakan output firma bergabung sebagai input perantaraan untuk menghasilkan keluaran akhir juga membolehkan firma perantaraan mengeluarkan outputnya pada kos yang lebih rendah serta memasarkan keluaran mereka pada harga yang lebih rendah.
Manfaat yang sama dinikmati di peringkat antarabangsa apabila keluaran syarikat yang bergabung dapat dieksport ke luar negara pada harga lebih rendah dan kompetitif serta mampu bersaing dengan keluaran pengganti.
Negara juga akan menikmati faedah hasil dari peningkatan keuntungan syarikat bergabung. Pertumbuhan ekonomi negara akan bertambah pesat apabila peningkatan keuntungan syarikat bergabung membolehkan negara memungut hasil cukai syarikat yang lebih tinggi yang seterusnya menjadi sumber dana membangunkan negara.

S: Apakah kesan negatif apabila syarikat-syarikat bergabung?
J: Walaupun percantuman memberikan faedah, namun sekiranya gelagat dan prestasi syarikat selepas percantuman tidak dipantau, maka ia mungkin mendatangkan keburukan.
Penggabungan antara syarikat bakal mewujudkan sebuah entiti besar yang akan meninggikan penumpuan pasaran. Penumpuan pasaran adalah penunjuk penting yang mengukur darjah pemusatan aktiviti ekonomi dan kuasa dalam pasaran serta ekonomi keseluruhannya.
Penumpuan pasaran yang tinggi selalunya mewujudkan struktur pasaran oligopoli ketat atau monopoli yang antara lainnya akan mengurangkan persaingan, meninggikan tingkat harga dan keuntungan serta mewujudkan ketaksetaraan agihan pendapatan.
Tingkat harga keluaran adalah tinggi sekiranya penjimatan kos pengeluaran tidak dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk harga keluaran yang lebih rendah.
Keuntungan yang tinggi hasil dari penjimatan kos pengeluaran dan pengagihan dividen, sekiranya tertumpu di kalangan pemilik modal dan pemegang saham terbesar sudah pasti akan menimbulkan ketaksetaraan agihan pendapatan dalam ekonomi.
Selain itu, apabila saiz firma menjadi terlalu besar, ekonomi tak ikut skel mula dirasai. Apabila saiz firma bertambah besar, kakitangan pemasaran dan pengurusan menjadi semakin kurang cekap.
Pengurus terpaksa mengagih-agihkan tugasnya dikalangan kakitangan bawahan. Masalah kerenah birokrasi wujud apabila pengasingan pengurusan peringkat atas daripada operasi sebenar dan masalah firma sehingga melewatkan sesuatu keputusan diambil yang akhirnya meninggikan kos pentadbiran dan seterusnya kos purata firma.

S: Pasti akan berlaku proses pemberhentian pekerja apabila beberapa syarikat bergabung, bagi menjimatkan kos operasi. Apa pandangan FS terhadap perkara ini dan adakah ia memburukkan lagi masalah pengangguran negara?
J: Penggabungan antara beberapa syarikat akan membabitkan proses penyusunan semula syarikat dan ini sudah pasti membabitkan pengurangan pekerja untuk menjimatkan kos.
Namun pada pendapat saya, penggabungan syarikat perladangan mungkin tidak memberikan kesan yang begitu besar terhadap masalah pengangguran negara.
Kita boleh melihat kesan ke atas pengangguran berdasarkan kepada kategori pekerja yang bakal diberhentikan. Sekiranya pekerja yang akan diberhentikan tergolong dalam kategori pekerja mahir atau pengurusan yang sudah mempunyai pengalaman kerja, kemungkinan mereka untuk mendapatkan pekerjaan baru, sama ada di sektor pertanian itu sendiri atau sektor-sektor lain, adalah tinggi.
Selain daripada itu, pemberhentian pasti akan diberikan pampasan kewangan yang agak lumayan dan ini membolehkan golongan yang diberhentikan kerja menceburi bidang baru, misalnya sebagai usahawan.
Pemberhentian pekerja dalam kategori pekerja tidak mahir juga dijangkakan tidak banyak berlaku dan dengan itu tidak memberikan kesan besar terhadap masalah pengangguran negara. Misalnya, sebelum penggabungan (contohnya bagi sektor perladangan), sehektar tanah dikendalikan lima pekerja dan satu jentera.
Setelah penggabungan, meskipun jumlah hektar meningkat, namun bagi setiap hektar, jumlah buruh yang akan digunakan tidak berubah. Sekiranya penggabungan merangsang penggunaan teknologi menggantikan pekerja ladang yang kurang mahir, maka pembuangan pekerja akan berlaku.
Namun, peningkatan pengangguran dalam ekonomi tidaklah sebegitu tinggi kerana sektor perladangan tidak begitu intensif modal berbanding dengan sektor pembuatan. Selain daripada itu, oleh kerana sebahagian besar pekerja ladang terdiri dari pekerja asing, maka pemberhentian pekerja dan penghantaran pulang pekerja asing ke negara asal mereka sudah pasti bukan sahaja mengurangkan masalah pengangguran dalam negara, bahkan mengurangkan pengaliran keluar pengiriman wang pendatang ke negara asal, memperbaiki imbangan pembayaran, mengatasi masalah sosial berkaitan pendatang asing dan mengurangkan beban fiskal pembayar cukai tempatan apabila mereka terpaksa menanggung kos penggunaan kemudahan awam, misalnya kos membendung jenayah berkaitan pendatang asing yang semakin meningkat.


S: Adakah penggabungan syarikat dilihat mengurangkan persaingan sihat antara syarikat? Apa pandangan Prof Madya berhubung kenyataan saya ini?
J: Dari beberapa aspek, pengurangan persaingan mendatangkan kebaikan kepada pengeluar iaitu syarikat yang bergabung dan juga negara. Misalnya, sebelum aktiviti percantuman, sektor perbankan negara dianggotai oleh 54 institusi perbankan.
Bilangan bank yang banyak, menawarkan perkhidmatan kepada pasaran dalam negeri yang terbatas sudah pasti menyebabkan setiap bank menikmati bahagian pasaran yang kecil dan merendahkan keuntungan.
Krisis kewangan Asia pada 1998 turut menjejaskan prestasi dan kestabilan industri perbankan negara. Oleh itu, pengurangan bank kepada sembilan selepas selesainya proses penggabungan antara Bumiputra Commerce Bank Berhad dengan Southern Bank Berhad mungkin dianggap sebagai bilangan bank yang optimum. Ini membolehkan institusi perbankan negara bersaing dengan cekap, meninggikan produktiviti dan menikmati faedah ekonomi ikut skel.
Pengukuhan daya tahan dan daya saing industri perbankan negara membolehkan mereka merebut peluang bersaing di pasaran serantau yang baru dan kompetitif. Saranan penggabungan kontraktor pembinaan oleh Perdana Menteri juga bertujuan melahirkan syarikat pembinaan besar yang lebih kukuh dan mampu bersaing bukan sahaja di dalam negara, bahkan mampu mendapatkan kontrak dari luar negara melalui tender terbuka.
Malah usaha penggabungan institut pengajian tinggi swasta Bumiputera boleh membantu mereka terus wujud di pasaran apabila persaingan sengit sesama sendiri mendapatkan pelajar dapat dikurangkan.
Itu dari aspek pengeluar tetapi dari aspek pengguna, pengurangan persaingan melalui penggabungan mungkin mengurangkan kebajikan mereka seperti yang saudara katakan, persaingan sihat tiada dan mutu atau kualiti produk mungkin semakin menurun.
Misalnya, persaingan antara syarikat penerbangan tambang murah dengan syarikat penerbangan biasa dalam laluan domestik menguntungkan pengguna melalui pengenalan tambang penerbangan yang lebih murah oleh syarikat penerbangan tambang murah.
Oleh itu, penggabungan antara syarikat yang bersaing menawarkan harga yang kompetitif dan produk yang pelbagai boleh menjejaskan kebajikan pengguna, misalnya harga tidak lagi murah seperti ditawarkan dulu.
Selain daripada itu, pembentukan syarikat besar boleh melemahkan atau menghalangi persaingan dalam pasaran melalui halangan kemasukan. Pengawalan input atau bahan mentah penting oleh syarikat besar yang bergabung boleh meninggikan kuasa pasaran mereka apabila firma pesaing gagal mendapatkan input yang diperlukan ataupun terpaksa menggunakan input kurang berkualiti.
Kewujudan syarikat berpengaruh yang besar bukan sahaja mempercepatkan proses penyingkiran, bahkan menjejaskan kebebasan membuat keputusan firma lain dalam pasaran. Dengan sumber kewangan yang besar, firma yang bergabung dengan mudah dapat mengambilalih firma yang memberikan saingan terhadapnya.
Firma lain juga enggan melakukan sesuatu keputusan atau tindakan yang akan mendedahkannya sebagai sasaran ambil alih. Fenomena ini juga menimbulkan kesukaran untuk firma baru memasuki industri diingini sekiranya ingin mempelbagaikan aktivitinya.

S: Berdasarkan pemerhatian dan analisis Prof Madya, apakah kemampuan syarikat yang pernah bergabung sebelum ini, contohnya bank, benar-benar melonjak?
J: Perkara ini agak sukar dijawab kerana kesimpulan boleh dibuat hanyalah selepas kajian dilaksanakan. Dalam kes ini, apa yang perlu dilakukan ialah membuat kajian perbandingan prestasi syarikat setelah dan sebelum penggabungan.
Antara aspek prestasi yang perlu dikaji ialah analisis keuntungan, ekuiti, inovasi produk, produktiviti dan pembabitan di pasaran global. Selain daripada itu, dalam usaha menggalakkan penggabungan, kajian empirik menentukan saiz dan bilangan syarikat optimum yang mampu beroperasi dengan cekap perlu dilakukan sebelum menentukan bilangan syarikat yang ideal dalam sesuatu penggabungan.

S: Sektor manakah yang sesuai digabungkan dan sektor manakah pula yang kurang sesuai?
J: Adalah agak sukar untuk mengatakan yang penggabungan hanya sesuai untuk sektor tertentu dan tidak sesuai pula untuk sektor lain. Ini disebabkan pemilihan industri untuk bergabung perlu dibuat secara selektif mengikut misi nasional selaras dengan perkembangan semasa ekonomi negara dan luar negara.
Dalam era liberalisasi perdagangan dan globalisasi, keupayaan bersaing industri tempatan di peringkat global adalah begitu penting, maka tidak hairanlah sektor kewangan dan perladangan menjadi tumpuan aktiviti penggabungan.
Aktiviti penggabungan juga sesuai dilakukan di kalangan syarikat yang terbabit dalam industri yang mempunyai kos overhed yang tinggi, misalnya sektor pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.
Pelaburan infrastruktur komunikasi yang optimum dan bersepadu memerlukan pembekal perkhidmatan bergabung dan berkongsi kemudahan komunikasi, menyelaras pembangunan kemudahan dalam menyediakan perkhidmatan penyampaian yang cekap dan mampu dilanggani serta membantu mewujudkan eksternaliti jaringan dan kesan limpahan.
Bagaimanapun, penggabungan antara firma dalam sektor pembuatan tidak perlu digalakkan kerana percantuman akan hanya meningkatkan lagi darjah penumpuan pasaran sektor berkenaan. Ini disebabkan salah satu kajian awal terhadap sektor pembuatan di Malaysia antara tahun 1978 hingga 1986 menunjukkan struktur pasaran sektor pembuatan sudah mencapai darjah penumpuan pasaran yang tinggi dan mewujudkan struktur pasaran oligopoli ketat yang selalu dikaitkan dengan amalan perdagangan tidak sihat; misalnya, peletakan harga pemangsa, amalan pakatan, ikat jualan serta aktiviti pengiklanan dan galakan jualan berlebihan.
Amalan yang tidak sihat ini dalam jangka panjang menjejaskan kualiti barangan yang ditawarkan, meninggikan inflasi dalam negeri dan menghapuskan daya saingan barangan pembuatan keluaran Malaysia di peringkat antarabangsa.
Oleh itu, maka dalam tempoh RMK9, kerajaan akan menggubal Akta Amalan Perdagangan Adil yang berasaskan Dasar Amalan Perdagangan Adil untuk memastikan amalan perdagangan yang lebih kondusif ke arah menggalakkan persaingan sihat dan mencegah tingkah laku dan amalan anti persaingan serta penyalahgunaan kuasa pasaran.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home