Tuesday, January 15, 2008

buaya dalam pembetung new york

nasronrencana1

Rencana - Aligator Raksasa di New York

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

GENERASI lama di kota New York, Amerika Syarikat percaya bahawa terdapat buaya raksasa yang mendiami dan berkeliaran dalam pembetung di bawah bandar metropolitan itu sejak kira-kira 70 tahun lalu.
Buaya raksasa itu dikatakan hidup dan merayau-rayau dalam paip panjang dan berselirat itu untuk mencari mangsanya. Sebarang mangsa termasuk manusia yang ditemui akan diserang dengan ganas sebelum dibaham hidup-hidup.
Lama kisah momokan raksasa itu menjadi igauan ngeri generasi tua terbabit tetapi melewati masa, tidak ramai lagi anak muda di kota itu yang mengetahui kewujudan haiwan berkenaan. Lalu kepada remaja yang tidak mengetahui itu, mereka mula bercerita:
Semuanya bermula sekitar 1930-an apabila sebuah keluarga berada dari New York memutuskan untuk bercuti di Florida. Ketika percutian itu, mereka menemui beberapa anak buaya yang masih kecil dan teramat comel.
Anak buaya itu kemudian dibawa balik ke New York dan dibela sebagai haiwan peliharaan oleh anak pasangan terbabit. Melewati masa, anak buaya comel itu semakin membesar sehingga tidak lagi sesuai untuk dibela dalam rumah mereka.
Buntu memikirkan masalah itu, pasangan berkenaan bertindak kejam - haiwan reptilia itu dibuang menerusi lubang tandas rumah mereka.
Haiwan reptilia terbabit bagaimanapun terselamat dan terus hidup dalam pembetung yang tertanam jauh di bawah kota New York itu.
Ia memakan sampah dan tikus yang ditemui dan melewati masa, ia semakin membiak menyebabkan semakin banyak buaya yang berkeliaran dalam pembetung berkenaan.
Ketika itulah, sesuatu yang menakutkan diceritakan berlaku. Terdapat teori mengatakan buaya itu terkena bahan toksik yang dibuang dalam pembetung berkenaan sehingga jasad mereka bermutasi dan menjadi semakin besar seumpama raksasa.
Sesetengah pihak mengatakan saiz buaya itu teramat besar sehingga mampu menelan pekerja pembetungan yang ditemui dengan sekali baham.
Terdapat juga beberapa versi yang mengatakan sebahagian buaya itu menjadi putih kerana membesar dalam pembetung yang gelap sehingga menyebabkan pigmen warna kulit haiwan itu berubah. Mata haiwan itu yang buta tetapi berwarna merah kelihatan menakutkan.
Seterusnya kumpulan buaya raksasa itu terus hidup dengan menjadikan pembetung yang panjang dan berselirat di bawah kota New York sebagai habitat mereka dan sesiapa yang ‘menceroboh’ kawasan itu akan diserang dan dibaham dengan kejam!
Pada mulanya ramai pihak tidak percaya akan kewujudan koloni reptilia ganas berkenaan tetapi beberapa penemuan aneh segera menyentak tanggapan asal kumpulan skeptikal terbabit.
Antaranya pada awal 1930-an, beberapa buaya aligator dilihat berenang di Sungai Bronx, beberapa ekor daripadanya ditemui mati di tebing sungai manakala seekor berjaya ditangkap. Haiwan itu dipercayai keluar dari pembetung dan memasuki sungai berkenaan.
Malah satu lagi penemuan dilaporkan akhbar New York Times pada 10 Februari 1935. Menurut laporan bertajuk ‘Aligator Dijumpai Dalam Pembetung Di Pinggir Bandar’ itu, beberapa remaja yang sedang menyodok salji bagi membersihkan Jalan East 123rd, terlihat suatu benda besar bergerak dalam pembetung yang terbuka penutupnya.
Mereka meneliti dengan lebih dekat dan didapati benda bergerak itu adalah buaya aligator raksasa sepanjang 2.3 meter! Haiwan itu tersekat pada sesuatu dan gagal bergerak.
Remaja terbabit menarik keluar haiwan itu menggunakan tali tetapi sebaik terlepas dari pembetung itu, buaya berkenaan pantas membaham seorang daripada mereka. Cemas dengan keadaan itu menyebabkan mereka memukul buaya berkenaan dengan penyodok masing-masing bertalu-talu sehingga mati.
Kewujudan koloni buaya dalam pembetung di bawah New York turut diakui bekas Pesuruhjaya Pembetungan kota itu, Teddy May.
Dalam buku ‘The Worlad Beneath the City’ yang diterbitkan pada 1959, May dilaporkan berkata pada 1935, beberapa pekerjanya melaporkan bahawa mereka menjumpai buaya di dalam pembetung kota berkenaan.
Pada mulanya beliau tidak percaya dan menganggap pekerja berkenaan mabuk sehingga tidak mengetahui apa yang dilihat mereka. Apabila pekerja terbabit mempertahankan dakwaan itu dan menegaskan bahawa mereka tidak mabuk, May berkata:
“Aku akan turun sendiri dan buktikan kepada kamu semua bahawa tiada aligator dalam pembetung aku!”
Lalu dengan semangat berkobar-kobar, beliau turun dan meninjau kawasan pembetung berkenaan tetapi ketika itulah dia tergamam! Dia melihat sendiri bahawa terdapat banyak buaya besar sepanjang lebih dua meter di dalam paip pembetung berkenaan.
Menyedari kewujudan buaya berkenaan adalah serius dan berbahaya, May memutuskan untuk menghapuskan semua haiwan itu. Lalu mereka mula membunuh reptilia itu menggunakan racun tikus selain menembak dengan senapang patah dan pistol selama beberapa bulan.
Hari ini, pihak berkuasa kota New York mengesahkan bahawa tiada lagi koloni buaya wujud dalam pembetung di bawah kota itu tetapi siapa tahu, mungkin masih ada segelintir haiwan itu yang terselamat daripada dibunuh 70 tahun lalu dan melewati masa, ia mungkin kembali membiak dengan banyaknya!

INFO
Buaya raksasa dalam pembetung

-Kisah kewujudan buaya raksasa dalam pembetung di bawah kota New York tersebar dengan meluas sekitar 1960-an tetapi kalangan skeptikal tidak percaya bahawa wujud buaya raksasa dalam pembetung di bawah kota New York. Mereka menganggap kisah momokan itu hanya mitos malah cerita Teddy May juga sekadar rekaan lelaki itu. Menurut mereka, buaya tidak sesuai hidup dalam pembetung kerana memerlukan suhu panas sepanjang tahun.
-Buaya raksasa juga turut dikisahkan di beberapa negara lain termasuk di negara ini iaitu buaya ‘Bujang Senang’ di Sarawak.
-Kisah kewujudan buaya raksasa dalam pembetung berkenaan dipercayai mencetus idea penghasilan filem animasi terkenal, Ninja Turtle.
-Kisah buaya raksasa dalam pembetung di New York turut diadaptasi sebagai filem antaranya ‘Alligator’ pada 1980 dan ‘Alligator II: The Mutation’ pada 1991.
-Selain di New York, buaya juga dipercayai turut mendiami pembetung di bawah kota Constantinople pada Empayar Byzantine.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home