Thursday, December 20, 2007

nahas bot sungai rajang

nasron91

Jejak - Bot berlanggar di Sarawak

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

PAGI yang dingin dan tenang menyelubungi perairan Sungai Rajang, Sibu, Sarawak pada Selasa, 8 Januari 1991.
Bot ekspres ‘Maju Song 2’ yang bertolak dari Song menuju bandar Sibu pada jam 6.15 pagi, menyusuri laluan perairan sungai itu dengan kelajuan sekitar 40 knot.
Kabus pagi yang amat tebal sehingga menyekat pandangan di hadapan laluan bot itu sedikit menyukarkan pemanduan juragan, akan tetapi keadaan itu mungkin tidak disedari kira-kira 20 penumpang yang berada di tempat duduk di dalam bot. Dengan berhati-hati, bot berkenaan meneruskan perjalanannya.
Ketika jam menunjukkan sekitar 7.20 pagi, tiba-tiba satu dentuman teramat kuat kedengaran dan diiringi gegaran yang menakutkan sehingga menyebabkan penumpang dan pekerja di dalam bot itu mula panik.
Debaran mula dirasai sebahagian mereka tatkala memikirkan yang ada tragedi tertentu yang berlaku ketika itu - kemungkinan bot mereka terlanggar kayu hanyut dan dikhuatiri akan karam.
Segera bot Maju Song 2 menghampiri tebing sungai. Dengan kalut, mereka mula memeriksa keadaan di dalam bot dan ketika itulah pihak terbabit mula sedar, seorang daripada tiga pekerja bot yang duduk di hadapan kenderaan itu, cedera parah di kepala dan sudah tidak bernyawa lagi. Bot berkenaan juga remuk di beberapa bahagian.
Tidak lama kemudian, wajah cemas dan terperanjat mula tertera di riak penumpang dan pekerja bot apabila mendapati bahawa bot berkenaan bukan melanggar kayu hanyut sebaliknya merempuh sebuah bot ekspres lain.
Debaran semakin mengasak jiwa rasa masing-masing tatkala mendapati bot yang dilanggar Maju Song 2 itu tenggelam di dasar sungai bersama puluhan penumpang dan pekerja yang masih terperangkap di dalamnya!
Ketika itu jugalah beberapa mangsa kelihatan timbul dan berenang di permukaan air selepas berjaya menyelamatkan diri daripada tenggelam bersama bot yang dilanggar Maju Song 2 itu. Akan tetapi persoalan yang lebih mencemaskan adalah - adakah penumpang yang lemas terperangkap di dalam bot karam itu?
Detik waktu terus berlalu dengan penuh cemas dan matahari semakin meninggi meninggalkan kaki langit. Lokasi tragedi kemalangan itu mula dipenuhi ramai pihak yang berusaha mengesan dan menyelamatkan mangsa yang dikhuatiri lemas terperangkap dalam perut bot yang karam di dasar sungai.
Akan tetapi, usaha itu tidak semudah disangka. Tanpa peralatan mencukupi, usaha mengapungkan bot karam itu teramat sukar untuk dilakukan.
Siasatan awal akhirnya mendapati bahawa bot ekspres yang bertembung dengan Maju Song 2 adalah ‘Jumbo 90’ yang dalam perjalanan dari Sibu ke Kapit. Maklumat awal mengatakan seramai 30 penumpang dipercayai berada dalam Jumbo 90 ketika nahas itu berlaku.
Nahas itu dipercayai berpunca akibat kabus tebal yang menyebabkan kedua-dua juragan bot tidak dapat melihat antara satu sama lain dari jarak jauh.
Tanpa jarak penglihatan yang jelas, kedua-dua bot ekspres itu bertembung dan Jumbo 90 dikatakan menindih Maju Song 2 dan terbalik sebelum menjunam dan terbenam di dasar sungai.
Kemalangan tragis itu segera tersebar dan ahli keluarga serta rakan mangsa yang berada di dalam bot itu segera membuat laporan kepada pihak polis. Sehingga jam 4 petang, polis menerima laporan yang mengesahkan tujuh orang hilang.
Sebilangan kecil daripada penumpang kedua-dua bot ekspres yang terselamat dan cedera ringan segera dikejarkan ke Hospital Lau King Howe dan Hospital Daerah Kanowit untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Kebanyakan mereka didapati luka di beberapa bahagian badan selain terminum air sungai sewaktu menyelamatkan diri. Keadaan mereka bagaimanapun dilaporkan stabil.
Beberapa penumpang Jumbo 90 yang terselamat mula menceritakan keadaan mereka sebelum tragedi itu berlaku:
Bot ekspres Jumbo 90 terus meredah aliran sungai itu sebaik meninggalkan pangkalan Sibu. Penumpang yang memenuhi lebih separuh tempat duduk dalam bot itu begitu leka menonton tayangan video yang dipasang mengiringi perjalanan.
Hinggalah tibanya pada waktu tertentu, secara tiba-tiba satu letupan kuat seumpama letupan bom kedengaran.
Ketika penumpang masih terkejut dan tertanya-tanya, dengan sekelip mata jugalah air mula memasuki ruang dalam bot dan sedikit demi sedikit, bot itu mula tenggelam ke dasar sungai.
Panik yang tercetus menyebabkan beberapa penumpang bertindak berenang mencari jalan keluar dari perut bot. Pintu kecemasan dan ruang yang terbuka segera mereka redah untuk berenang ke luar bagi menyelamatkan diri.
Mentari petang semakin menganjak ke malam apabila pasukan penyelamat yang terdiri daripada polis, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Laut, Polis Marin dan dengan bantuan penduduk tempatan masih meneruskan gerakan mencari mangsa tragedi nahas bot paling buruk pernah berlaku di Sarawak ketika itu.


HEADING:

USAHA mencari dan mengenalpasti jumlah sebenar mangsa yang terbabit dalam tragedi nahas bot Maju Song 2 dan Jumbo 90 itu semakin sukar dilakukan berikutan senarai maklumat mangsa tidak direkodkan syarikat pengusaha perkhidmatan berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan jumlah penumpang yang berada di dalam bot ketika kejadian berlaku selain nama dan maklumat diri mereka terus menjadi teka-teki yang memeningkan pihak berkuasa.
Tanpa sebarang kepastian, petunjuk mengenai jumlah penumpang kedua-dua bot ekspres yang disahkan hilang hanya berdasarkan laporan yang dibuat oleh rakan dan saudara mara masing-masing saja.
Hari kejadian mula beransur ke malam dan mentari yang menjelma pada hari kedua tragedi menyaksikan dua mayat ditemui menjadikan jumlah korban dalam nahas berkenaan sebagai tiga orang setakat itu.
Dua mayat itu dikenal pasti sebagai penumpang bot ekspres Jumbo 90 dan ditemui pasukan
penyelamat sewaktu bot yang karam itu berjaya diapungkan dan ditarik ke tebing sungai kira-kira jam 5 petang.
Penumpang lain masih belum ditemui dan dipercayai sudah dihanyutkan arus sungai. Gerakan mencari mayat mangsa terus giat dilakukan tetapi ketika malam mula menjelma, tiada lagi perkembangan memberangsangkan yang diperoleh pasukan penyelamat.
Khamis, hari ketiga tragedi bagaimanapun menceritakan situasi berbeza. Suasana sayu dan pilu mengiringi penemuan sembilan lagi mayat mangsa perlanggaran dua bot ekspres berkenaan.
Sebahagian mayat mangsa yang dijumpai pada hari ketiga itu ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian manakala sebahagian lagi ditemui kira-kira 50 kilometer dari tempat nahas berlaku.
Pasukan penyelamat menemui mayat pertama dekat Kanowit kira-kira jam 8.30 pagi manakala mayat kesembilan ditemui kira-kira jam 6.30 petang.
Sehingga lewat malam itu, polis mengesahkan lapan penumpang masih hilang, termasuk dua budak perempuan.
Ketibaan Jumaat menyaksikan mayat seorang lagi penumpang bot ekspres yang berlanggar di
Sungai Rajang itu, ditemui sekali gus menjadikan jumlah korban nahas itu sebagai 12 mangsa.
Mayat ke-12 iaitu kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu ditemui pasukan penyelamat Polis Marin di Sungai Pak yang terletak berhampiran tempat kejadian, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Ketika hari itu jugalah satu lagi kekeliruan berjaya diatasi. Sebenarnya, terdapat ahli keluarga dan rakan yang membuat laporan kerana menyangka keluarga atau rakan mereka menaiki bot berkenaan sedangkan mereka didapati tidak berada di dalam bot.
Dengan terlerainya kekeliruan itu, polis mengesahkan hanya tiga penumpang bot masih hilang dan 12 angka korban dicatatkan dalam tragedi tragik itu.
Sehingga kini, jumlah mangsa korban dan hilang itu kekal sehingga kini berikutan tiada lagi mayat mangsa yang ditemui.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home