Sunday, December 16, 2007

kematian Elvis Presley

nasron87

Fail Jenayah - misteri kematian Elvis Presley

Susunan Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

RAMAI pihak yang tersentak dan terkejut tidak percaya sebaik media dan akhbar memaklumkan bahawa ikon dunia hiburan ketika itu iaitu Raja Rock & Roll, Elvis Aaron Presley ditemui mati di rumahnya di Memphis, Tennesee pada 16 Ogos 1977.
Lebih memilukan pihak terbabit terutama kalangan peminat fanatik penyanyi legenda itu adalah apabila laporan pemeriksaan kematian mencatatkan bahawa Elvis meninggal dunia kerana serangan sakit jantung.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, beberapa pihak mula tampil mengemukakan pelbagai dakwaan yang mengejutkan.
Mereka mendakwa bahawa terdapat fakta berhubung kematian bintang Rock & Roll itu yang dipalsu dan dirahsiakan beberapa pihak malah punca sebenar kematian Elvis adalah akibat dadah berlebihan.
Adakah Elvis mati akibat keadaan semula jadi (serangan jantung), membunuh diri dengan mengambil dadah secara berlebihan atau bintang Rock & Roll itu dibunuh seseorang yang memasukkan dadah secara berlebihan di dalam jasadnya?
Semua persoalan itulah yang terus menjadi misteri sehingga kini walaupun sudah 30 tahun Elvis menemui maut dan meninggalkan muzik serta gaya pakaiannya saja sebagai warisan legenda sehingga kini.
Elvis ketika hidupnya dikenali sebagai antara pelopor muzik Rock & Roll yang menjadi kegilaan ramai pihak terutama remaja ketika itu. Penerimaan hangat lagu Rock & Roll ciptaannya menyebabkan beliau menjadi ikon penyanyi yang digilai ramai.
Hasil jualan album, lakonan, konsert serta pelbagai aktiviti tokoh legenda itu kemudian menambahkan kekayaan Elvis sehingga melimpah ruah. Selepas lama menikmati hidup dalam kemewahan dan kemasyhuran, lalu drama tragedi berkenaan mula terjadi:
Pada malam itu iaitu 15 Ogos 1977, Presley bersama tunangnya, Ginger Alden bertemu doktor gigi sekitar jam 11 malam. Tiga jam kemudian, mereka beredar dari klinik berkenaan dan ketika dalam perjalanan pulang, mereka singgah membeli video Star Wars untuk anak Elvis, Lisa.
Setibanya di rumah dan sekitar jam 4 pagi, Presley bermain ‘racquetball’ bersama sepupunya Billy Smith di belakang rumah dan selepas puas bermain permainan berkenaan, Elvis menghadap pianonya dan mendendangkan lagu ‘Blue Eyes Crying In the Rain’ dan ‘Unchained Melody’.
Pada jam 6.30 pagi, Elvis memanggil adik tirinya, Rick Stanley yang bertugas
pada malam itu supaya membawakan pil tidur kepadanya. Pada jam 8 pagi, Presley sekali lagi meminta ubat dihantar kepadanya. Ginger yang terjaga daripada tidur ketika itu mendapati tunangnya itu masih hidup.
Kira-kira dua jam kemudian, Ginger ternampak Elvis yang hanya memakai seluar tidur, menuju ke bilik air sambil membawa buku lucah bertajuk ‘Sex And Psychic Energy’.
Ginger bagaimanapun meneruskan tidurnya sehinggalah pada jam 2 petang, dia terjaga dan mendapati lampu bacaan Elvis masih menyala tetapi lelaki itu tiada di tempatnya.
Ginger yang masih tidak mengesyaki apa-apa menyambung tidurnya tetapi selepas setengah jam kemudian, dia mula berasa tidak sedap hati apabila melihat tunangnya itu masih belum kelihatan.
Gadis itu bergegas ke bilik mandi tetapi mendapati pintu bilik berkunci. Dia memanggil Elvis tetapi tiada jawapan. Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, dia memecahkan pintu itu dan ternampak penyanyi berkenaan tersungkur di lantai.
Pengurus peribadi Elvis, Joe Esposito, ayahnya Vernon dan jururawat yang bertugas di rumah berkenaan kemudian cuba menyelamatkan penyanyi itu tetapi gagal. Ketika usianya baru 42 tahun ketika itu, Elvis Presley kemudian disahkan meninggal dunia.


Heading:

PELBAGAI teori kontroversi melanda kematian bintang Rock & Roll terkemuka, Elvis Aaron Presley yang ditemui maut di rumahnya di Memphis, Tennesee pada 16 Ogos 1977.
Lebih mengejutkan adalah terdapat pihak tertentu yang mendakwa Elvis sebenarnya tidak mati tetapi kematiannya hanyalah ‘satu lakonan yang dibuat-buat’ pihak berkuasa bagi membolehkan ikon itu disembunyikan daripada buruan sindiket jenayah.
Mengikut teori konspirasi itu, beberapa ketika sebelum kematiannya, Elvis dikatakan sedang membantu pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bagi menumpaskan satu sindiket jenayah terancang dan tindakan itu menyebabkan nyawa tokoh itu dalam bahaya dan dia terpaksa ‘disembunyikan’ menerusi kematiannya itu.
Teori lain seperti dilaporkan akhbar British, The People pula menyatakan bahawa penyanyi itu memalsukan kematiannya untuk berhijrah ke luar negara bersama kekasihnya.
The People juga memetik kenyataan sepupu Presley, Billy Smith yang mengatakan penyanyi itu sudah bosan dengan cara hidupnya dan mahu memulakan penghidupan baru bersama kekasihnya, Maria yang kaya-raya.
Smith juga menyatakan, Presley membayar sejumlah wang yang besar kepada seorang lelaki bernama Scott bagi menjalani pembedahan plastik mengubah mukanya.
Teori kononnya Elvis masih hidup itu menyebabkan beberapa pihak termasuk peminat mendakwa mereka pernah terlihat penyanyi itu di beberapa tempat. Akan tetapi tidak dapat dipastikan sama ada orang yang dilihat itu adalah Elvis atau peminat fanatik yang berpakaian dan berdandan menyerupainya saja.
Misteri berhubung kematian Elvis juga semakin membingungkan apabila terdapat beberapa fakta berhubung tragedi yang menimpa Raja Rock & Roll itu yang dipalsu dan disembunyikan pihak tertentu.
Antaranya laporan pemeriksaan kematian mencatatkan bahawa penyanyi itu meninggal dunia kerana ‘degupan jantung luar biasa’ tetapi terdapat pendedahan bahawa punca sebenar kematian tokoh legenda itu adalah akibat dadah berlebihan.
Buku ‘The Death of Elvis’ mendakwa laporan bedah siasat tidak mengandungi bukti bahawa masalah jantung berkait dengan kematian Elvis sebaliknya, pada 1991, ketua patologi Hospital Peringatan Baptist di Memphis, Dr E Eric Muirhead, mengenal pasti punca kematian tokoh itu sebagai polypharmacy iaitu gangguan dadah yang boleh membawa maut.
Bukti punca kematian Elvis juga ‘dimusnahkan’ apabila kandungan dalam perut Elvis yang dipam keluar ketika berada ke hospital, dicurahkan ke dalam sinki.
Bilik air yang menjadi lokasi Elvis menemui maut pula dicuci pihak tertentu yang turut membuang semua pil, botol serta beberapa dokumen yang berada di dalam bilik air itu. Bekas muntah Elvis juga dibersihkan daripada permaidani bilik air berkenaan.
Bedah siasat terhadap jasad Elvis bagaimanapun mendapati ada 14 kandungan pelbagai jenis dadah dalam badan Elvis termasuk 10 jenis yang diambil berlebihan. Elvis diketahui alah kepada dadah berjenis codeine tetapi misterinya adalah kandungan codeine turut ditemui dalam jasad penyanyi itu!
Penemuan itu mencetuskan pelbagai spekulasi sama ada Elvis cuba membunuh diri atau ada pihak tertentu yang membunuhnya menerusi pemberian dadah codeine termasuk dadah lain dalam kuantiti yang banyak.
Ibu tiri Elvis, Dee Presley yakin bahawa Elvis membunuh diri kerana sebelum lelaki itu mati, beliau disahkan mengidap barah dan doktor yang merawatnya memberitahu dia hanya boleh hidup beberapa tahun lagi.
“Itu adalah punca kematian sebenar. Dia terlalu runsing dan tidak mahu mati dalam kesakitan. Dadah berlebihan sengaja diambil bagi menamatkan semua mimpi ngeri itu,” katanya.
Bagaimanapun, seorang lagi ahli keluarga Elvis, Donna Presley Early, percaya bahawa Raja Rock & Roll itu dibunuh pihak tertentu tetapi identiti pembunuhnya hanya diketahui Vernon iaitu bapa Elvis. Akan tetapi, Vernon enggan mendedahkan siapakah pembunuh Elvis dan rahsia itu turut dibawa bersamanya sehingga dia meninggal dunia.

tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home