Tuesday, June 26, 2007

Siri 1: Son of Sam, pembunuh bersiri AS

nasron2

Fail Jenayah - Son of Sam

SIRI 1: Membunuh atas ‘arahan’ syaitan

Susunan Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

SARJAN Joseph Coffey melangkah menuju ke bilik siasatan dengan perasaan penuh amarah. Hari itu iaitu 10 Ogos 1977, dia akan bersemuka dengan lelaki kejam yang mencetuskan igauan ngeri di kalangan penduduk New York, Amerika Syarikat (AS) sejak setahun lalu.
Dengan langkah demi langkah yang diatur mendekati bilik siasatan, kegeraman semakin membuak-buak di jiwanya tatkala mengenangkan kejahatan dan kekejaman dilakukan David Berkowitz.
Seketika kemudian dia masuk dan bersemuka dengan tahanan terbabit. Di hadapan lelaki itu, Coffey mula bertanyakan soalan berhubung enam kes pembunuhan kejam yang berlaku sekitar kota New York, Amerika Syarikat, bermula 29 Julai 1976.
Sebaik mendengar soalan pegawai polis itu, dengan tenang, Berkowitz memulakan ceritanya. Jam terus berdetik dan masa terus berlalu diiringi keterangan demi keterangan mengejutkan yang diluahkan lelaki terbabit.
Selepas tamatnya soal siasat itu, Coffey semakin yakin yang Berkowitz adalah ‘Son of Sam’, pembunuh bersiri kejam yang mencetuskan ketakutan di kalangan penduduk New York, pada akhir 1970-an.
Berkowitz menceritakan dengan terperinci mengenai setiap pembunuhan yang dilakukannya malah sebahagian maklumat yang disampaikan lelaki itu, tidak akan diketahui melainkan oleh pembunuh yang melakukan perbuatan itu saja.
Pada akhir sesi siasatan itu, Berkowitz dengan sopan mengucapkan ‘selamat malam’ kepada Coffey. Perilaku Berkowitz benar-benar menghairankan pegawai polis itu.
“Ketika saya mula melangkah masuk ke dalam bilik itu, perasaan saya penuh dengan amarah. Akan tetapi, selepas bercakap dengannya... saya merasa kasihan kepadanya. Lelaki itu seperti ‘sayur’ (lembut),” kata Coffey.
Dengan pengakuan Berkowitz itu, berakhirlah usaha polis untuk memburu dan mengenalpasti identiti pembunuh bersiri yang berselindung di sebalik gelaran ‘Son of Sam’ dan ‘Pembunuh .44 Kaliber’.
Bagaimanapun, penangkapan Berkowitz menjadi episod permulaan yang membongkar pelbagai rahsia yang menyelubungi kehidupan penjenayah itu sehingga mendorong dirinya menjadi pembunuh yang tidak berperikemanusiaan.
Pembongkaran demi pembongkaran mengenai psikologi dan riwayat hidup pembunuh itu selain modus operandi yang dilakukannya mula menarik perhatian media AS lebih-lebih lagi apabila Berkowitz menyatakan yang dia membunuh atas arahan syaitan.
Berkowitz membunuh mangsa pertamanya iaitu Donna Lauria, 18, pada 29 Julai 1976. Dalam kejadian itu, Donna bersama rakannya Jodi Valenti sedang berbual dalam kereta berhampiran pintu masuk apartmen keluarganya di Bronx, New York City, kira-kira jam 1 pagi.
Donna kemudian ternampak seseorang bergerak ke sisi kereta mereka. Belum sempat dia bertanya, lembaga itu mengacukan pistol ke arahnya lalu melepaskan lima das tembakan. Donna mati di tempat kejadian manakala rakannya, Jodi cedera di paha.
Polis tidak menemui sebarang motif serangan dan merumuskan yang kejadian itu mungkin dilakukan kumpulan samseng yang tersilap sasaran atau pembunuh gila. Tekanan kejadian ngeri itu memberi trauma mendalam kepada Jodi sehingga gadis itu gagal memberi gambaran jelas mengenai pembunuh.
Tiga bulan kemudian iaitu pada 23 Oktober 1976, satu lagi serangan dengan modus operandi sama berlaku. Carl Denaro, 19 dan pasangannya, Rosemary Keenan yang baru pulang daripada parti, berbual seketika di dalam kereta di hadapan rumah gadis berkenaan di Flushing, Queens.
Ketika jam menunjukkan kira-kira 2.30 pagi, seorang lelaki secara tiba-tiba muncul di sisi kenderaan berkenaan dan melepaskan lima das tembakan. Tembakan bertubi-tubi itu mengenai kepala Carl sehingga pemuda itu cedera parah.
Rosemary yang ketakutan terus memandu kereta untuk mendapatkan bantuan. Carl dikejarkan ke hospital dan pakar bedah berjaya menyelamatkannya dengan memasang kepingan keluli pada bahagian tengkorak kepalanya yang cedera.
Sebulan berlalu dan pada 26 November 1976, Donna DeMasi, 16 dan rakannya Joanne Lomino, 18, yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menonton wayang diserang lelaki yang tidak dikenali.
Dalam kejadian itu, kedua-duanya baru turun dari bas yang berhenti tidak jauh dari rumah Joanne apabila mereka terlihat kelibat seorang lelaki berdiri sambil memerhatikan mereka.
Lelaki itu kemudian mengekori dan ketika menghampiri kedua-dua remaja berkenaan, dia berpura-pura hendak bertanyakan arah. Tanpa diduga, lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan pistol daripada jaketnya lalu melepaskan tembakan.
Peluru yang ditembak menembusi jasad kedua-dua remaja terbabit sehingga menyebabkan mereka rebah kesakitan dan berlumuran darah. Joanne lumpuh selepas tembakan itu mengenai tulang belakangnya manakala Donna berjaya diselamatkan.
Kedatangan tahun baru 1977 semakin menambahkan kegilaan Berkowitz yang ‘kehausan darah’ mereka yang tidak berdosa. Christine Freund menjadi mangsa pembunuhan seterusnya pada 30 Januari 1977.
Selepas kematian penuntut kolej, Virginia Voskerichian pada 8 Mac 1977, barulah polis menyedari mereka berdepan dengan seorang pembunuh bersiri yang menjadikan wanita cantik sebagai mangsanya.
Peluru .44 kaliber yang ditemui dalam kes pembunuhan Virginia didapati menyamai peluru yang dijumpai di tempat Donna Lauria dibunuh.
Tekaan pihak berkuasa itu tepat apabila pembunuh terbabit mula ‘memperkenalkan dirinya’ menerusi surat yang dihantar kepada polis dan pihak media. Penjenayah gila itu memperkenalkan dirinya sebagai ‘Son of Sam’ selain ‘Pembunuh .44 Kaliber’.
Seterusnya dalam kebimbangan meneka bilakah lagi Son of Sam akan bertindak, ‘Operasi Omega’ membabitkan kira-kira 300 anggota dan pegawai polis dilancarkan bagi memburu penjenayah itu.
Son of Sam terus mengganas apabila membunuh tiga lagi mangsanya iaitu Alexander Esau, 20, dan Valentina Suriani, 18, pada 17 April 1977 seterusnya Stacy Moskowitz, 20, pada 31 Julai tahun sama.
Petunjuk yang ditemui di tempat kejadian dan surat milik penjenayah itu terus dikaji; gerakan mencari secara besar-besaran terus dilakukan pihak berkuasa.
Akhirnya pada 10 Ogos 1977, buruan itu berakhir apabila Berkowitz ditahan di luar apartmennya di Pine Street, Yonkers, New York. Ayat pertama yang diucapkan Berkowitz semasa ditahan adalah: “Mengapa anda semua lambat sangat?”

Minggu depan: sejarah hidup Berkowitz sebelum menjadi penjenayah bersiri.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home