Tuesday, June 26, 2007

misteri tapak kaki aneh (tapak kaki Bigfoot)

nasron4

Misteri - Tapak kaki misteri di Hutan Bukit Lintang

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

“TAPAK kaki apa?” Itulah persoalan yang sehingga kini terus menghantui minda pengkaji paranormal, Syed Abdullah Syed Hussein Al-Attas, sejak dia menjumpai tapak kaki misteri di Hutan Bukit Lintang, Johor pada 20 Februari tahun lalu.

Tapak kaki itu aneh sekali, ia lebih besar daripada tapak kaki manusia dengan ukuran kira-kira 45.5 sentimeter (sm) panjang dan 36 sm lebar. Bagaimanapun, perkara yang paling membingungkan lelaki terbabit adalah bentuk fizikal tapak kaki berkenaan.

Sebaik menjumpai tapak kaki itu, Syed Abdullah dan pasukannya menjalankan kajian bagi mengenalpasti persamaan bentuk tapak kaki berkenaan dengan tapak kaki mana-mana spesies hidupan di dunia ini.

Tujuh bulan mengkaji, hasil yang dikumpul pasukan Paranormal Scene Investigators (PSI) itu benar-benar meremangkan bulu roma ahli kumpulan terbabit sekali gus mencetuskan enigma yang sukar difahami logik akal.

Dengan dahi berkerut kehairanan, Syed Abdullah mendapati bentuk tapak kaki yang ditemui pasukannya di tengah hutan itu, tidak wujud dalam katalog spesies hidupan biologi dunia. Dengan kata lain, hidupan yang memiliki bentuk tapak kaki seperti itu, tidak wujud di dunia ini!

“Pada mulanya saya fikir ia tapak kaki Bigfoot yang ketika itu heboh diperkatakan ramai pihak kononnya wujud di hutan Malaysia khususnya di Johor.

“Tapi selepas tujuh bulan mengkaji, saya dapati ia tidak menyamai bentuk tapak kaki Bigfoot yang dijumpai di luar negara malah tapak kaki ini juga tidak menyamai mana-mana tapak kaki spesies hidupan yang wujud di dunia ini. Habis, ini tapak kaki apa?” soalnya dalam kebingungan.

Bagi memperluaskan kajiannya, Syed Abdullah turut meminta pendapat dukun dan pengkaji alam mistik berhubung tapak kaki yang ditemuinya itu dan hasilnya, pelbagai ulasan aneh dan mistik yang dikemukakan kepadanya.

“Ada yang mengatakan ia adalah tapak kaki jin dan hantu tapi setahu saya, jin, hantu dan makhluk halus mana ada kaki. Lebih pelik ada yang mengatakan ia adalah tapak kaki dewa yang turun ke bumi (yang kenyataan itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam),” katanya.

Mengimbau bagaimana dia boleh menemui tapak kaki berkenaan, segala-galanya bermula apabila berita ‘kewujudan’ Bigfoot di hutan Johor, dilaporkan secara besar-besaran oleh media bermula Disember 2005.

Liputan meluas itu tidak saja menggemparkan masyarakat negara ini tetapi melangkau benua sehingga ke peringkat antarabangsa.

Pada suatu hari yang tenang, ketika berita kewujudan Bigfoot di Malaysia masih belum reda, pihak PSI menerima satu panggilan daripada pengkaji paranormal Singapura, Singapore Paranormal Investigators (SPI) yang menjemput pihaknya bersama menyertai usaha menjejaki spesies hidupan misteri itu.

Selain lima anggota PSI dan tiga ahli SPI, usaha menjejak misteri kewujudan Bigfoot di Johor itu turut disertai empat krew dokumentari Destination Truth dari Amerika Syarikat dan seorang wartawan akhbar Independent dari United Kingdom.

Seterusnya pertemuan diatur dan pada pagi 20 Februari 2006, 13 pengkaji bersama seorang jurupandu memulakan ekspedisi menjelajah beberapa lokasi yang didakwa masyarakat setempat sebagai tempat Bigfoot dilihat.

Ekspedisi bermula dengan mereka menyusuri Sungai Sedili selama sejam menuju lokasi pertama. Sebaik sampai, dengan berhati-hati mereka melangkah ke merata arah bagi meninjau sebarang kemungkinan wujudnya kesan peninggalan dan jejak Bigfoot di kawasan itu.

Sejam mencari, tiada sebarang kesan ditemui menyebabkan mereka kembali ke jeti dengan perasaan hampa ketika matahari pagi sudah lama berlalu. Jam ketika itu sudah menunjukkan kira-kira 4 petang.

Sebaik menjejak kaki di jeti, tanpa berputus asa, mereka mengambil keputusan untuk menjejaki satu lagi lokasi penemuan Bigfoot yang terletak tidak jauh dari situ. Dengan harapan menggunung, kenderaan masing-masing terus membelah laluan sukar selama 30 minit menuju ke pinggir Hutan Bukit Lintang.

Turun dari kenderaan, pasukan ekspedisi itu mula berhadapan dengan penemuan aneh pertama yang membuahkan kembali harapan masing-masing. Terdapat beberapa corak aneh seakan-akan tapak kaki besar ditemui di permukaan jalan bertar yang dilalui kenderaan mereka. Kumpulan itu mula menjejaki tapak kaki itu sehingga ke dalam hutan.

“Dah jumpa! Dah jumpa!” laungan itu menyebabkan semua ahli ekspedisi bergegas ke suatu lokasi di dalam hutan itu, kira-kira empat meter dari jalan bertar. Dengan penuh kepuasan, mereka memandang 10 kesan tanah dipijak sesuatu di hadapan mereka.

Syed Abdullan tunduk memandang satu daripada kesan berbekas pada tanah itu untuk meneliti dengan lebih dekat. Didapati kesan itu masih baru seolah-olah makhluk yang meninggalkan jejak itu masih belum jauh daripada mereka.

Seketika dia memandang ke atas dan didapati terdapat kesan dahan yang patah di atas jejak berkenaan. Menggunakan bahan kimia ‘Gypsum’, mereka membuat replika bentuk tapak kaki itu. Mereka terus meninjau kawasan sekitar bagi mencari kemungkinan adanya najis atau bulu yang ditinggalkan makhluk berkenaan tetapi gagal menemui apa-apapun.

Kini, setahun sudah berlalu sejak pihaknya menjumpai tapak kaki aneh itu. Pelbagai persoalan dan misteri masih menghantui fikiran Syed Abdullah. Sehingga kini, dia masih tertanya-tanya, “tapak kaki apa?”

KRONOLOGI:
Log ekspedisi penemuan tapak kaki aneh
- Disertai tiga kumpulan iaitu PSI (Syed Abdullah Al-Attas, Syahira Ahmad Ramli, Siti Nadhirah, dan Muhammad Zul ‘Izzi Othman), SPI (Kenny, Lee Qing Yu dan Douglas Lim), krew Destination Truth (Josh Gates, Eric Wing, Marc Carter, Neil Mandt) dan wartawan The Independent (Jan Mc Girk)
#8 pagi: berkumpul di lobi Hyatt Regency, Johor Bahru.
#10 pagi: bertolak dari hotel.
#11 pagi: tiba di Jeti Sungai Sedili. Menghadapi masalah harga kos pengangkutan bot yang terlalu mahal. Selepas berbincang pengusaha bot akur untuk mengurangkan harga.
#1 petang: bertolak dari Jeti Sungai Sedili.
#2 petang: Tiba di lokasi dan mengkaji kawasan sekitar. Tidak mendapati apa-apa bukti yang meyakinkan mengenai kewujudan Bigfoot di kawasan itu.
#3 petang: bertolak pulang.
#4 petang: tiba di jeti. Berbincang untuk menuju ke lokasi seterusnya yang terletak kira-kira 30 minit pejalanan dari jeti.
#5 petang: tiba di lokasi. Menemui kesan tapak kaki aneh di jalan tar. Jurupandu menyatakan terdapat 12 tapak kaki aneh di kawasan jalan bertar dan 40 kesan tapak kaki di kawasan hutan bersebelahan (4 meter dari jalan bertar). Kami menjumpai kira-kira 10 kesan tapak kaki besar dan satu daripadanya sangat jelas. Pada pendapat kami semua, kesan tapak kaki itu masih baru lagi. Terdapat kesan seperti dahan pokok yang patah di sekitar kawasan kami menemui tapak kaki itu. Kami turut mencari bukti lain seperti najis dan bulu bigfoot. Kami juga cuba mencari kesan tapak kaki lain di sekitar kawasan itu tetapi gagal menemui apa-apa. Selepas meneliti kesan tapak kaki itu, kami mengesahkan bahawa kesan tapak itu adalah kaki sebelah kiri dengan ukuran 45.5 sm panjang dan 36 sm lebar. Sebagai bahan bukti kami menggunakan bahan kimia Gypsum yang dibawa SPI untuk membentuk replika tapak kaki sebenar. Masa yang diambil untuk membentuk replika tersebut selama 40 minit.
#8 malam: bertolak pulang dari lokasi.
tamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home