Wednesday, June 13, 2007

An Inconvenient Truth

nasron41

Dimensi - Pemanasan Global

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

TERDIAM sejenak, minda bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Albert Arnold ‘Al’ Gore Jr berfikir sesuatu tatkala mengenangkan perubahan iklim dan kerapnya bencana alam yang berlaku di Bumi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Lalu lelaki itu merancang satu wadah untuk menzahirkan perasaan kecewa yang sering membungkam hatinya. Mungkin dia tidak betah lagi untuk terus memendam rasa kecewa itu keseorangan dan hanya membiarkan saja perubahan iklim Bumi serta bencana alam yang berlaku di serata dunia, berterusan.
Dengan bantuan Davis Guggenheim dan beberapa lagi individu, mereka mula merencana sesuatu dan pastinya ‘sesuatu’ yang dirancangkan itu akan menimbulkan polemik dan konflik berterusan kerana apa yang ingin Gore luahkan adalah sesuatu yang jelas bertentangan dengan pendirian polisi Kerajaan AS.
Berbulan berlalu, akhirnya pada 24 Mei 2006, filem dokumentari yang dirancangkan mereka - ‘An Inconvenient Truth’ (Kebenaran yang Tidak Menyenangkan), mula ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat seterusnya hampir di seluruh dunia.
Dengan menampilkan Gore sendiri sebagai pelakon/pembentang, filem dokumentari 94 minit arahan Guggenheim itu menerangkan pelbagai fakta mengenai perubahan iklim dunia khususnya pemanasan global yang puncanya didalangi manusia sendiri.
Pelbagai fakta yang dikemukakan menyangkal kritikan pihak tertentu yang mengatakan bahawa pemanasan global adalah masalah kecil atau tidak terbukti.
Sebaliknya, bukti yang disertakan menerusi dokumentari itu mula menyedarkan penonton yang Bumi kini semakin ‘parah’. Kepanasan global hasil janaan manusia menerusi aktiviti pembebasan gas rumah hijau tanpa kawalan selain kegiatan penebangan hutan yang berterusan, semakin menambahkan derita kepada alam.
Hasilnya, pelbagai bencana alam mula berlaku di mana-mana dan iklim dunia mula menjadi tidak menentu serta sukar diramal. Bumi menjadi ‘rosak’.
Menerusi An Inconvenient Truth, Gore mengemukakan data penting serta jangkaan akibat perubahan iklim dunia. Gore mengkaji bukti saintifik mengenai pemanasan global serta membincangkan kesan politik dan ekonomi akibat masalah itu selain menggambarkan keadaan Bumi pada masa akan datang jika jumlah gas rumah hijau tidak dikurangkan dari sekarang.
Antaranya, Gore membincangkan risiko pemanasan global yang tidak dihentikan segera, mampu mencairkan bongkah ais gergasi di Greenland atau barat Antartika seterusnya menyebabkan paras air laut global meningkat sehingga enam meter.
Peningkatan paras laut itu sekali gus akan menenggelamkan kawasan pantai di seluruh dunia sehingga menyebabkan 100 juta penduduk menjadi pelarian.
Lantaran tahap kemasinannya yang lebih rendah pula, cairan ais dari Greenland boleh menghentikan arus elektrik ‘Gulf Stream’ sekali gus menyebabkan kedinganan menyelubungi Utara Eropah dengan pantas.
Menyangkal pandangan kalangan skeptikal mengenai kebenaran perubahan iklim dunia akibat pemanasan global serta puncanya adalah manusia, Gore membentangkan data dan bukti yang menyokong tesis filem itu, termasuk:
- Jumlah kejadian taufan dahsyat iaitu Taufan Kategori 4 dan 5 berlaku lebih sekali ganda berbanding 30 tahun lalu.
- Wabak malaria sudah mampu merebak ke kawasan yang lebih tinggi seperti Pergunungan Andes di Columbia yang terletak lebih 2,000 meter dari paras laut.
- Pergerakan ais yang terpisah daripada glasier di Greenland adalah sekali ganda berbanding sedekad lalu.
- Sekurang-kurangnya 279 spesies tumbuhan dan haiwan sudah menunjukkan tindak balas terhadap pemanasan global apabila mereka bergerak meninggalkan habibat asal.
Gore juga menjangkakan yang jika pemanasan global tidak dihentikan, masalah itu boleh menatijahkan bencana antaranya:
- Kematian akibat pemanasan global akan meningkat sekali ganda dalam tempoh 25 tahun iaitu kira-kira 300,000 orang setahun.
- Paras laut akan meningkat sehingga enam meter akibat kecairan ais di Greenland dan Antartik menyebabkan kawasan pantai mengalami kemusnahan.
- Gelombang haba panas akan lebih kerap berlaku malah lebih kuat sehingga menyebabkan kemarau dan kebakaran besar.
- Dijangka tiada ais di Lautan Artik pada musim panas 2050.
- Lebih satu juta spesies hidupan seluruh dunia akan menuju kepupusan 2050.
Filem dokumentari An Inconvenient Truth berakhir dengan Gore menegaskan bahawa kesan pemanasan global ketika ini masih boleh ‘diterbalikkan’ menerusi proses pengurangan pelepasan karbon dioksida dan gas rumah hijau serta penanaman lebih banyak tumbuhan hijau bagi menyerap gas terbabit.
Pastinya filem dokumentari itu memberi tamparan hebat kepada AS kerana negara itu adalah adalah antara negara industri yang enggan mengikuti Protokol Kyoto yang diperkenalkan sebagai usaha mengurangkan pemanasan global dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau khususnya pelepasan sebatian karbon di kalangan negara peserta.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home