Monday, April 14, 2008

unabomber

nasronrencana7

Rencana - Insan genius Thedore Kaczynski

Oleh Nasron Sira Rahim
mailto:Rahimnasron@bharian.com.my

PADA 22 Mei 1942, lahir seorang bayi lelaki genius yang kemudian membesar menjadi ikon ‘legenda’ dalam sejarah dunia.
Kepintaran anak pasangan Richard Kaczynski dan Wanda Theresa itu terserlah sejak kecil lagi apabila dia berjaya melompat kelas gred enam menyebabkan dari gred lima, dia terus dimasukkan ke gred tujuh di sekolah Evergreen Park Central, Illinois, Amerika Syarikat (AS).
Ujian kepintaran yang dijalankan juga mendapati kanak-kanak itu, Theodore Kaczynski, memiliki tahap kepintaran (IQ) luar biasa iaitu 170.
Laluan kehidupan Kaczynski bagaimanapun berubah semakin sukar apabila dia melompat kelas. Sebagai kanak-kanak yang usianya lebih muda berbanding pelajar lain dalam gred tujuh, dia gagal menyesuaikan diri malah menjadi ejekan pelajar lebih berusia.
Akibatnya, perkembangan sosial Kaczynski menurun. Dia takut bergaul dengan orang ramai, sering bermain seorang diri dan satu-satunya rakan beliau adalah seorang kanak-kanak lelaki yang terencat akal.
Bagaimanapun, masalah itu tidak menjejaskan kepintarannya malah dia terus membuktikan kemampuannya apabila sekali lagi melompat kelas gred 11 ketika di Sekolah Tinggi Evergreen Park Community.
Akibatnya, beliau menamatkan pengajian sekolah tinggi dua tahun lebih awal berbanding remaja lain malah diterima masuk ke universiti terkemuka dunia, Universiti Harvard ketika usianya baru mencecah 16 tahun.
Kaczynski menamatkan pengajiannya di Harvard pada 1962 seterusnya menyambung pengajian sarjana serta doktor falsafah (Phd) dalam bidang Matematik di Universiti Michigan. Beliau memperoleh Phd dengan menyelesaikan masalah matematik yang teramat sukar sehingga gagal diselesaikan pakar matematik universiti itu, dalam tempoh kurang setahun.
Ketika musim luruh 1967 menjelma, Kaczynski memulakan kerjayanya sebagai Pembantu Profesor Matematik di Universiti California dan menjuruskan kepakarannya dalam ‘teori fungsi geomatrik’ di mana hanya 10 atau 12 orang saja yang memahami bidang itu di AS.
Bagaimanapun, dua tahun kemudian, tanpa sebarang sebab, dia meletakkan jawatan walaupun dipujuk pihak universiti yang menyedari kemampuannya. Dia bertegas meletakkan jawatan dan tindakan itu seterusnya menjadi episod permulaan kepada ‘sumbangan besarnya’ dalam sejarah dunia.
Sembilan tahun kemudian iaitu pada Mei 1978, satu bungkusan aneh ditemui di lot letak kenderaan Universiti Northwestern. Pengawal kampus, Terry Marker, membuka bungkusan itu dan dengan tiba-tiba, ia meletup sehingga mencederakan tangan kiri lelaki itu.
Belumpun tragedi pengeboman itu reda, satu lagi bom aneh dijumpai disembunyikan dalam kargo pesawat American Airlines dari Chicago ke Washington pada 1979. Bom itu mengeluarkan asap sehingga menyebabkan penumpang sesak nafas dan juruterbang terpaksa membuat pendaratan kecemasan.
Penumpang pesawat itu bernasib baik kerana sistem masa pada bom itu rosak menyebabkan ia gagal meletup.
Cubaan meletupkan pesawat itu menyebabkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mula memandang serius kes berkenaan. Persamaan modus operandi dengan kes letupan di Universiti Northwestern meyakinkan mereka bahawa dalang di sebalik dua kes bom bersurat itu adalah orang yang sama.
Mereka menamakan kes itu sebagai ‘Unabomb’ iaitu singkatan kepada ‘pengeboman universiti dan syarikat penerbangan’ manakala suspeknya digelar ‘Unabomber’.
Ketika FBI bingung mengesan dalang jenayah bersiri berkenaan, beberapa lagi letupan bom bersurat tercetus sehingga menyebabkan ramai mangsa cedera malah dua mangsa terbunuh.
Bertahun tanpa perkembangan memberangsangkan mengenai Unabomber, pihak berkuasa mendapat petunjuk baru pada 1995 apabila penjenayah itu menghantar beberapa surat kepada akhbar dan mangsanya bagi menyatakan matlamat tindakannya.
Dalam suratnya, dia meminta manifesto 35,000 perkataan yang ditulisnya bertajuk ‘Masyarakat Perindustrian dan Masa Depannya’ dicetak dalam akhbar dan jurnal utama. Dia memberi jaminan sekiranya manifesto tulisan tangan itu dicetak, maka kempen keganasannya akan berakhir.
Pada 19 September 1995, akhbar New York Times dan Washington Post menyiarkan manifesto dikenali ‘Manifestor Unabomber’ itu yang antara lain menegaskan bahawa ‘revolusi perindustrian dan kesannya mencetuskan malapetaka kepada manusia’.
Pada awal 1996, pengkaji profil FBI, Clinton R Van Zandt dihubungi seorang pemberi maklumat, Tony Bisceglie. Bisceglie meminta Van Zandt membandingkan tulisan Unabomber dengan tulisan dalam surat yang dihantar adik majikannya.
Van Zandt mula menganalisis tulisan berkenaan dan yakin bahawa ia ditulis orang yang sama. Persamaan tulisan itu kemudian membawa sepasukan polis menjejaki kabin terasing milik Unabomber yang terletak di Lincoln, Montana pada 3 April 1996.
Mereka mula menunggu dan tidak lama kemudian, suspek mula melangkah keluar dari kediamannya dan pasukan polis itu segera menyerbu dan menahan lelaki terbabit.
Berita penangkapan pengebom bersiri itu segera mendapat liputan meluas media. Wajah pengebom bersiri itu dipaparkan di kaca televisyen dan di dada akhbar.
Ketika itulah beberapa pihak yang mengenalinya terkejut teramat - lelaki itu adalah Thedore Kaczynski, insan genius yang mensia-siakan kepintarannya dengan menjadi pengebom bersiri paling terkenal dan ditakuti dalam sejarah jenayah dunia.

INFO
Unabomber.
- Kaczynski dihukum penjara seumur hidup tanpa parol selepas mengaku salah terhadap semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya. Dia kini masih dipenjara di Penjara Persekutuan ADX Supermax di Florence, Colorado. - Dalam suratnya, beliau kadang-kala menggelar dirinya sebagai kumpulan Kelab Kebebasan (FC).- Keseluruhannya, 16 bom dihantar Unabomber sepanjang 18 tahun keganasannya sehingga menyebabkan 23 mangsa cedera dan tiga terbunuh.- Polis menjumpai bukti termasuk bom buatan sendiri dan manifesto asli di dalam kabinnya ketika menahan suspek itu pada 3 April 1996.-FBI turut menawarkan ganjaran AS1 juta kepada mereka yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya Unabomber.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home